• Sumbangan anda diperlukan bagi mengisi tabung pilihanraya DEWAN PEMUDA PAS WILAYAH PERSEKUTUAN

    Bank Islam : 14023010000110

    Untuk Sumbangan Peralatan, Bahan Kempen dan Sebagainya sila hubungi :

    Khairil : 019-5732576
    Hilmy : 016-2333024

  • RSS Malaysiakini (English)

    • Terdapat ralat. Suapan ini mungkin tidak dapat dihubungi. Sila cuba lagi.

Bahasa Melayu, senjata ampuh tapi dilupakan dalam kempen pilihan raya?

Oleh Ali Bukhari Amir

“Life for nothing or die for something …” – John Rambo (Rambo IV)

Agak-agaknya, apakah senjata, peluru dan bom yang tidak boleh ditepis Umno-BN? Jika isu kebajikan mahu dilaungkan, media yang dikawal Umno-BN dapat menepis semua itu dengan meneropong kawasan terpinggir, penduduk miskin di negeri pembangkang.

RTM pula mendedahkan kadar pertumbuhan jenayah dan akhirnya ia dipolitikkan dengan isu kemiskinan negeri pembangkang. Jadi, apakah lagi modal yang boleh diketengahkan? Adakah citra Islam mahu diwar-warkan lagi sebagai modal pilihan raya?

Jika demikian, Islam juga cuba ditonjolkan Umno dalam Taman Tamadun Islam di Pulau Wan Man. Yang terbaru Abdullah cuba mengumpulkan beberapa ulamak al-Azhar dalam Multaqa Alumni al-Azhar hanya semata-mata bagi menunjukkan Islam Hadhari telah pun diterima di peringkat Dunia Islam seluruhnya!

Idris Jusoh pula hampir setiap malam mengiklankan projek E-Farm, Imtiaz sebagai usaha berkempen bagi menonjolkan kemampuannya mentadbir Terengganu dengan cekap. Imej Islam dipaparkan guna menenggelamkan populariti PAS yang sinonim dengan Islam.

Multaqa Alumni al-Azhar adalah kempen besar-besaran untuk membuktikan Islam Umno jauh lebih terkedepan daripada segala jenis bentuk Islam PAS. Dan, hal ini sememangnya masih ada ruang untuk dipersoalkan. Hanya, sempatkah kita persoalkan semua itu dengan kesibukan menjelang PRU?

Misalnya, Syeikhul Azhar Mohamed Sayed Tantawi adalah ulama kerajaan Mesir. Tidak diketahui adakah Tantawi pernah mengirim pesan untuk Hosni Mubarak tentang masalah rakyat Palestin yang terkepung di Gaza setelah dibedil Israel?

Kita juga tidak tahu apakah Syeikhul Azhar pernah bertanya Abdullah, sejauhmana Islam Hadhari tajaan Malaysia selaku Pengerusi OIC itu dapat mengukuhkan pertahanan?

Lalu, dengan prinsip kekuatan pertahanan yang tertera dalam Islam Hadhari itu bagaimanakah Abdullah mahu membantu masyarakat Islam sejagat termasuk Palestin yang ditindas pemerintahan kejam?

Islam Hadhari adalah Islam Cordova

Islam Hadhari adalah Islam Cordova dan bukan mewakili Islam Rasulullah s.a.w sebagai yang diisytiharkan sendiri oleh baginda: “Masa yang terbaik adalah masa pemerintahanku dan selepas itu (pemerintahan Khulafa’ ar-Rashidin) dan selepas itu (Tabiin).”

Kebanyakan ulamak menyimpulkan bahawa tempoh ini adalah tempoh terbaik, iaitu yang berlangsung selama 300 abad. Tempoh ini digelarkan sebagai zaman Salafus Soleh. Islam Hadhari tidak merujuk kepada 300 tahun terbaik itu sebaliknya ia merujuk Islam Cordova yang maju, tetapi penuh dengan penipuan, kezaliman dan ketidakadilan.

Tetapi, sebagai biasa, aktivis Islam tidak akan dapat membangkitkan persoalan ini kerana masing-masing sibuk berkempen dalam usaha menjelaskan manifesto masing-masing lalu terlupa satu senjata yang boleh memusnahkan Umno-BN tanpa mereka dapat menepisnya lagi, iaitulah dasar pengajaran bahasa Melayu dalam ilmu Sains dan Matematik.

Setakat ini, belum jelas kelihatan Umno-BN mahu menukar dasar itu dan hal ini mengaut keuntungan besar kepada politik BA. Hal ini menyebabkan para pengundi Melayu di atas pagar, hatta pengundi Umno sekali pun dapat digugat keyakinan mereka ke atas Umno.

Hebahkan kepada rakyat bahawa BA akan menukar dasar itu kepada yang asal kalau BA diberikan mandat untuk memerintah. Umno-BN sememangnya tak dapat lagi pertahankan hal ini kerana imej parti tersebut sebagai pelindung bahasa kebangsaan akan tercalar.

Isu bahasa Melayu adalah ‘peledak C4’

Umno-BN tak dapat menukar dasar itu lagi kerana mereka bukan lagi kerajaan sekarang. Inilah satu-satunya peluru atau lebih tepat lagi digelar sebagai peledak C4 yang tiada lagi penampannya bagi Umno-BN jika dibandingkan isu negara kebajikan dan lain-lain yang sentiasa ada perisainya untuk menepis dan mengelak tembakan peluru BA.

Sebenarnya, isu-isu berkaitan bahasa boleh dikembangkan lebih jauh dengan kes sastera yang semakin dipinggirkan di sekolah-sekolah. Contohnya, isu A. Samad Said yang kesal apabila novel-novel berat yang tidak dijadikan sebagai bahan bacaan di sekolah.

Malahan, Pak Samad di dalam suatu kenyataannya berkata, beliau tidak ingin lagi digelar sebagai Sasterawan Negara sebagai suatu protes ke atas sikap Kementerian Pelajaran itu.

Dalam satu komentar tulisan A. Rahim Abdullah di Mingguan Malaysia 17 Februari, beliau membangkitkan rasa hairannya berhubung sikap membisu pihak DBP yang banyak menerbitkan karya berat sebelum ini. Tidakkah badan itu mampu melakukan sesuatu?

“Yang paling ironinya, tidak ada pemimpin politik Melayu seperti Umno, PAS, atau KeADILan yang tampil,” kata beliau menutup tulisannya itu.

Sejauh ingatan saya, KeADILan melalui Ketua Umum Dato’ Seri Anwar Ibrahim pernah mengeluarkan kenyataan membantah sikap Kementerian Pelajaran dalam isu tersebut.

Tapi, sejauhmana pula parti itu dapat memanfaatkan Pak Samad dalam ceramah-ceramah anjuran BA? Sasterawan adalah bilah-bilah kekuatan luar parti yang boleh dimanfaatkan dalam ceramah kempen mutakhir ini. Kenapakah ‘peluru’ ini tidak dimanfaatkan.

Manfaatkan sajak protes Pak Samad di pentas ceramah BA

Kita boleh meminta Pak Samad mendeklamasikan puisi protesnya sebelum ceramah BA bermula. Dan jangan lupa bahawa, sejarah melihat kaum penyair sebagai guru bangsa.

Seorang penyair–failasuf, Maulana Muhammad Iqbal pernah bermadah: “Bangsa-bangsa lahir di tangan para penyair, tapi mereka boleh jatuh dan bangun di tangan para politikus …”

Ertinya memang pasti bangsa-bangsa itu boleh bangun dan maju melalui kebijaksanaan si penyair dalam menyusun madah-madah sebagai panduan ke atas bangsanya. Tetapi, pada akhirnya di tangan pemerintah bangsa itu boleh rebah atau boleh maju bergantung kepada kekuatan dan kelemahan pemimpin tersebut.

Sudah pasti Hishammuddin Tun Hussein bukan pemimpin berjiwa murabbi, guru bangsa yang boleh membangunkan bangsanya sendiri. Di tangan Hishammudin itu akan berlaku bencana yang banyak dalam pendidikan kebangsaan lalu membiakkan anak-anak bangsa yang tidak kuat lagi pemikiran dan tidak dibangunkan lagi jiwa mereka.

Apapun, catatan orang bawahan adalah sekadar coretan yang tidak bermakna apa-apa jika tidak diambil sebagai panduan untuk menyempurnakan kekuatan, menyusun senjata bagi tujuan memusnahkan kempen Umno-BN menjelang PRU dalam tempoh terdekat.

Peluru, senjata dan bahan peledak telah diberikan. Tergantung kepada pimpinan sama ada mahu menterjemahkannya atau tidak. Yang perlu kini ialah lawan habis-habisan, bak kata Rambo (Rambo IV), “Samada hidup tanpa berbuat apa-apa, atau kita mati dengan berbuat sesuatu perkara.” Di tahap ini, kata beliau, peperangan itu semudah kita bernafas sahaja.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: